|
|
|
|
|
|
GELANGGANG PERGURUAN
Terdapat kesemuanya 7 gelanggang perguruan dengan kaedah dan falsafahnya yang tersendiri. Tahap ini mewujudkan pelbagai konsep dan teknik yang secara amnya terbahagi kepada 3 kegunaan asas iaitu kaedah lama, kaedah therapeutic/kesihatan dan kaedah tempur. 1 gelanggang umum (pembantu jurulatih), 2 gelanggang am (jurulatih), 2 gelanggang khusus (gurulatih muda), 1 gelanggang akhir (gurulatih) dan 1 gelanggang ijazah (guru muda). Gelanggang 1 sebagai pemula mengandungi asas latihan membentuk fizikal dan mental. Geraknya membentuk sabar dan asas fleksibiliti diri untuk peringkat seterusnya. Kaedah boleh dipraktikkan tanpa kekuda, tetapi mestilah dipelajari sebagai menurut bidalan bayi, menyusur badan, merangkak dahulu, bertatih, berjalan lurus dan berlari terus.
Gelanggang Bongsu adalah permulaan perguruan ini. Kaedah disini disamping bersifat sebagai kiasan buah sebenar, juga menjadi satu bentuk senaman asas persediaan rohani dan jasmani pesilat apabila dikupas kaedah tuanya. Konsep susunan gelanggang di sini mengikut falsafah ‘Ulung beralah, Usu ketengah’ sebabnya ‘Sulungnya berpadah, Bongsunya berhelah’. Langkah awal Seni Silat Syeikh Ali dianggap sebagai kaedah-kaedah sulung yang mana ianya bersifat lebih keras manakala Seni Silat Bongsu adalah yang terakhir dan bersifat asas, padat, lembut dan tersorok keampuhannya. Namun tidak dapat dinafikan sifat kebatinannya yang memberi kekuatan fizikal dan mental kepada pesilat setiap kali dipraktikkan.
Syarat Berguru
Sebagai permulaan, pesilat perlu menyediakan 3 syarat dari 5 syarat yang disenaraikan mengikut permintaan guru. Ini bagi menyempurnakan upacara simbolik 'serah diri' atau gambaran merelakan diri menjadi anak murid perguruan. Persediannya ialah:
Kebanyakan syarat dipenuhi secara individu dan ada juga secara berkumpulan, ditetapkan oleh guru. Syarat boleh disesuaikan mengikut keadaan. Sebagai guru, kefahaman simbolik yang tersirat disebalik syarat mesti benar-benar diarifi. Dimasa dahulu pelbagai syarat yang ketat dikenakan antaranya limau ada jantan betinanya, dikutip bersyarat, jarum beli sebatang bawa sebatang, duit berbilang tujuh, tempat bara kemenyan Mekah atau yang terbaik, tepak menyirih 3 kapur bersyarat selengkap mungkin dan pelbagai lagi syarat-syarat yang lain. Songkok hitam 4 inci atau tudung hitam, baju melayu atau baju kurung putih dan seluar hitam menjadi pakaian tradisi. Pakaian lain boleh juga digunakan asal sesuai, selesa dan sopan. Sebaik-baiknya biarlah seragam tanda sepakat. Pakai pakat seragam guru, langkah seerti disatu Bongsu.
Tidak terdapat sebarang pantang larang tertentu untuk berguru. Cukuplah sekadar syarat biasa yang umum semuanya mengetahui iaitu apa yang baik itulah hendaknya dan apa yang buruk itulah tegahnya. Adab tertib Islam mestilah dijaga selaku seorang Muslim sejati dan adat Melayu harus sentiasa di ingat dan diamati. Pembentukan seorang bijaksana mestilah berteraskan nilai murni dan disangga oleh disiplin pembelajaran yang wujud dalam perguruan ini. Segala syarat yang disebut terdahulu hanya sekadar menggambarkan kesungguhan individu untuk menimba ilmu dalam perguruan ini. Semua ahli harus sentiasa membina peribadi mulia serta berlapang dada terhadap semua makhluk. Seni silat ini bukan untuk orang melayu atau Islam sahaja malahan terbuka untuk semua tanpa mengira fahaman, bangsa atau keturunan.
Tahap Peralihan
Peralihan gelanggang bergantung kepada pencapaian keseluruhan. Gelanggang umum kebiasaannya dapat ditamatkan dalam tempoh 1-3 bulan bergantung kepada prestasi dan kekerapan, ada juga peringkat gelanggang yang mengambil masa sehingga 1 tahun. Gelanggang am ada yang mengambil masa 3-6 bulan, ada juga sehingga 1 tahun. Gelanggang khusus bergantung kepada kemampuan rohani dan jasmani serta keputusan guru, kebiasaannya dalam tempoh 1-3 tahun untuk dikhatamkan, begitu juga dengan gelanggang akhir dan gelanggang ijazah. Pulut kuning ayam panggang untuk santapan guru disediakan dimajlis tutup gelanggang.
Putus silat memerlukan sekeping papan pengganti bersyarat. Jurus keputusan diajar pada setiap peringkat bila tiba masanya dan sebilah keris lok ganjil disediakan. Gelanggang berikut menjurus kepada pengkhususan jika perlu dan proses kematangan. Ijazah diberikan selepas berjaya menguasai kesemua peringkat serta benar-benar memenuhi segala syarat. Serban dan songkok kebiasaanya diperlukan dalam upacara ijazah. Untuk meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, pesilat mestilah sudah bergelar pendekar dan hendaklah memenuhi syarat berikut yang menjadi ukuran utama:
Syarat tersebut penting bagi memastikan iltizam pewaris terhadap ilmu yang dibawa. Ini dapat menjamin kemurniaan ilmu tersebut seterusnya dapat diteruskan kesinambungan warisannya. Keikhlasan dalam mempelajari, mengamal dan mengajarnya juga mestilah dijaga.
©Hakcipta PSSTNM 2007 |