|
|
|
|
|
|
LOGO PERTUBUHAN
MAKSUD
Telapak Tangan Telapak tangan melambangkan sifat aman dan sikap terbuka serta berlapang dada terhadap semua orang tanpa mengira status. Ini menjadi pilihan utama dalam setiap keadaan. Jari yang lima sebagai simbolik kepada teras yang menjadi pegangan utama perguruan iaitu Rukun Islam dengan falsafah Islam yang universal dan harmoni. Ianya juga lambang Rukunegara yang akan dipertahankan dengan segala kudrat bagi menjamin keutuhannya. Pukulan telapak tangan menjadi salah satu kaedah ampuh dalam perguruan ini. Ada diantara aliran seni silat ini yang dipanggil Seni Silat Sobok bersempena dengan pukulan tersebut. Kaedah pukulan telapak tangan dan kaedah tangan kosong amat diutamakan dari penggunaan sebarang bentuk senjata.
Keris Keris yang sedikit terbuka melambangkan sikap seorang pendekar yang sentiasa bersedia. Bersedia dalam ertikata menyumbang kepandaian akal untuk agama, bangsa dan negara. Sikap sedia juga penting dalam medan persilatan. Keris itu sendiri sebagai simbol keberanian dan menjadi senjata utama dalam budaya rumpun Melayu. Terdapat pelbagai kaedah berkeris dalam perguruan ini seperti 'Tebar', 'Kaki Langit', 'Ulu Rusuk', 'Lintang', 'Jari 3', 'Genggam' dan lain-lain. Senjata dipelajari untuk dijinakkan dan ditundukkan. Perguruan tidak mahu menjadi hamba senjata dan mengagungkannya. Tidak juga digalakkan menjaga senjata dengan melampau sehingga timbul unsur syirik dan khurafat. Keris ini juga sebagai mewakili huruf 'T' bagi perkataan telapak.
Tulisan Perkataan Malaysia menunjukkan status Pertubuhan yang kini bertaraf kebangsaan dan dengan bangganya menjadi sebuah organisasi berperlembagaan di negara Malaysia tercinta. Motto "Pendekar Penyangga Ummah" atau maksudnya dalam bahasa Inggeris berbunyi "The People's Warrior" membawa pengertian pembentukan seorang pandai akal atau bijaksana berlaku bagi membantu meneruskan kesinambungan ketamadunan manusia amnya dan masyarakat Malaysia tercinta khususnya. Terdapat juga huruf-huruf PSSTN yang dijalin dari sarung, mata dan ulu keris yang berwarna merah dan hitam sebagai singkatan bagi nama Pertubuhan Seni Silat Telapak Nusantara.
Warna Logo Pertubuhan menggunakan 3 warna asas mewakili maksud-maksud yang tertentu. Warna kuning menjadi lambang kedaulatan negara berperlembagaan. Warna merah sebagai simbol ketabahan dan ketahanan fizikal dan mental. Warna hitam menggambarkan semangat pendekar dan warna utama pada mata keris rasmi pertubuhan yang disepuh. Warna asas digunakan agar mudah diulang cetak dalam pelbagai bentuk. Warna-warna sebegini nampak lebih tepat, jelas dan telus. Warna ini juga bersempena dari warna bendera Negeri Sembilan Darul Khusus sebagai negeri asal dimana Pertubuhan ini mula-mula diasaskan. Penaung yang pertama sejak dari awal usaha menubuhkan Pertubuhan ini merupakan salah seorang dari pembesar Negeri Sembilan Darul Khusus yang amat berwibawa iaitu Allahyarham Yang Teramat Mulia Tengku Besar Tampin, Tengku Syed Idrus Al-Qadri (DTNS).
©Hakcipta PSSTNM 2007 |