SEJARAHLOGOFALSAFAHGELANGGANGALAMAT

 

KEBATINAN

 Masyarakat sudah sedia maklum tenaga dalam atau ilmu kebatinan adalah mustahil untuk dipisahkan dengan dunia Melayu. Wujudnya unsur ini dipengaruhi dengan pelbagai ajaran yang pernah dianuti masyarakat nusantara. Unsur ini menjadi intipati penting dalam amalan tradisi setempat seperti perubatan, petua, persilatan dan berbagai lagi amalan hatta perkara seharian sekali pun. Dalam konteks persilatan, unsur kebatinan menjadi satu aspek yang hampir tidak dapat dielakkan sehingga pesilat yang tidak mempelajarinya dianggap sebagai seorang yang kosong jiwanya.

Terdapat segelintir masyarakat langsung tidak mempedulikan akan kepentingannya malah terus menolaknya mentah-mentah. Satu golongan lagi langsung tidak mempedulikan salah dan betulnya ilmu yang dipelajari dan mengenepikan kebenaran demi memperolehi kehebatan sementara yang menjahanamkan. Terlalu menurut kata hati, golongan ini sanggup melanggar tabi’i malah menyimpang dari ajaran Islam, samada dalam sedar atau tidak.

Unsur kebatinan dalam silat merupakan satu elemen penting yang tidak dapat dinafikan sumbangannya kepada kesinambungan dunia persilatan dalam alam Melayu. Di Malaysia terdapat banyak aliran kebatinan, samada aliran itu semata-mata mengamalkan kebatinan atau unsur tersebut digarap dengan kaedah fizikal seperti buah dan langkah.

Perkembangan dan pengembangan dunia kebatinan nampaknya semakin pesat dizaman serba canggih dan berteknologi tinggi ini, situasi ini adalah diluar jangkaan. Terdapat beberapa cara atau kaedah kebatinan atau kerohanian dalam dunia persilatan yang kebiasaannya menjadi amalan:

  1. Sebutan jampi, serapah atau zikir tertentu

  2. Amalan bertapa, patigeni atau mandi yang tertentu

  3. Pergerakan buah, langkah, bunga yang dipanggil gerak jurus

Kebanyakan pakar dan golongan ulama berpendapat sebutan yang jelas maksud dan tujuannya yang tidak bersalahan dengan ajaran Islam adalah dibolehkan, biar pun ianya berbentuk jampi serapah. Bagi sebutan zikir atau ayat-ayat suci ianya mestilah diajar oleh seorang guru yang benar-benar berkelayakan. Jampi serapah kebiasaannya kabur maksud dan sebutannya serta menyeru kepada sesuatu. Sebutan sebegini yang mesti dielakkan.

Bagi zikir atau ayat suci pula terdapat ramai guru tenaga dalam yang langsung tidak berkelayakan dalam mengajarnya. Sebutannya diubahsuai atau tidak menepati sebutan sebenar serta lari dari makna dan maksudnya. Malahan mereka tidak mengetahui dari mana sumber ayat tersebut, tiada sanadnya dan tiada ijazah yang sepatutnya diperolehi dari ahlinya. Jampi serapah dan zikir sebegini keadaannya masih mampu menghasilkan kehebatan atau kelebihan luarbiasa yang diinginkan.

Bertapa kebiasaannya mengakibatkan pengamalnya meninggalkan kewajipan harian seperti solah, pekerjaan, rumahtangga dan sebagainya. Ianya dilakukan dilokasi seperti kubur, gua, gunung atau kawasan menyeramkan bertujuan menimbulkan semangat atau keberanian, mendapatkan sesuatu kelebihan atau bertemu dengan sesuatu unsur untuk tujuan tertentu. Ulama berpendapat berkhalwat atau bersendirian untuk menumpukan diri kepada Allah (swt) dengan syarat tertentu adakalanya dibolehkan tetapi tidak pertapaan untuk sesuatu yang lain.

Patigeni kebiasaannya diamalkan dengan cara berlapar secara berterusan tanpa makan dan minum untuk satu jangkamasa yang pendek atau dipanjangkan tempohnya dengan hanya dibolehkan memakan makanan tertentu pada waktu yang ditetapkan. Mandian bersyarat atau berlangir pula menggunakan bunga, limau, air embun dan sebagainya. Banyak diantara amalan di atas dipengaruhi ajaran hindu atau anamisma. Amalan di atas diamalkan secara berasingan atau dikombinasikan bersama dan mempunyai tahap-tahap tertentu.

Tenaga dalam atau kebatinan boleh juga diperolehi dalam bentuk gerak langkah, buah atau bunga dengan diiringi bentuk amalan yang tertentu. Terdapat kaedah yang langsung tidak mempunyai pergerakan fizikal, sekadar niat atau digelar gerak batin atau mempunyai gerak fizikal yang amat sedikit, sekadar sebagai gerak syarat. Gerak jurus ini boleh terhasil dari amalan-amalan yang disebut terdahulu atau kaedahnya diajar terus untuk diamalkan bagi mendapatkan hasilnya.

Gerakan atau jurus ini secara amnya dipanggil dengan nama gerak keputusan, jurus kebatinan, ibu jurus atau gayong dan pelbagai nama-nama lain mengikut aliran. Hasil dari jurus kebatinan ini sememangnya hebat dan adakalanya jauh mengatasi zahir usaha atau geraknya. Aliran jurus tersebut akan mendakwa beroleh pertolongan yang hak atau menganggap apa yang diperolehi tidak menyalahi. Memang mengejutkan kerana banyak terdapat pergerakan yang nampak terlalu mudah dan biasa tetapi mampu menghasilkan sesuatu yang hebat menjangkau lojik akal.

Disamping amalan-amalan di atas, terdapat amalan lain yang lebih khusus seperti:

  1. Pernafasan

  2. Tabiat pemakanan

  3. Perbuatan tertentu atau yang agak pelik

Kaedah pernafasan antara yang paling kerap diamalkan. Dari segi saintifik terdapat banyak manfaat dari pernafasan tersebut kerana sudah tentu memberikan bekalan oksijen yang cukup dan konsisten kepada tubuh badan. Sistem yang diamalkan memberikan kesan positif yang berbeza terhadap tubuh badan mengikut kaedahnya. Sewaktu mempraktikkannya, pengamal kebiasaannya akan memberikan tumpuan pada satu-satu perkara samada berbentuk nyata atau bayangan.

Tabiat pemakanan yang agak unik seperti memakan anggota haiwan atau bahagian tumbuhan tertentu juga wujud. Terdapat pengamal yang sanggup memakan perkara yang keji dan tidak masuk akal bagi memperolehi tenaga dalam. Perbuatan yang pelik juga berlaku dalam proses mendapatkan kekuatan kebatinan. Sehingga kesatu tahap perbuatan tersebut diluar dari tabii manusia dan jauh melampaui batas.

Bagi amalan yang jelas kesalahannya adalah mudah untuk dijauhi dan dikenalpasti untuk dicegah, itu pun kalau masih ditimbang dengan kewarasan fikiran. Bagi memastikan kemurniaan fikiran dan kesucian akidah terjaga, perkara halus seperti amalan tenaga dalam hendaklah dirujuk kepada ahlinya terutama para alim ulama. Unsur tenaga dalam atau ilmu kebatinan ini adalah satu seni halus yang rumit dalam dunia persilatan dan memerlukan kefahaman serta penumpuan yang amat tinggi untuk menghayatinya.

Dalam hal memilih kaedah yang tepat bagi memperolehi kekuatan tenaga dalam, sebaiknya dipilih jalan yang paling selamat. Zikir atau ayat yang digunakan harus jelas asal-usul dan maksudnya. Begitu juga dengan jampi serapah, jika ada. Sebaik-baiknya elakkan dari menggunakan jampi dan serapah.

Terdapat banyak amalan zikir atau ayat-ayat tertentu amalan Junjungan Nabi Muhammad (saw), para sahabat (ra.hum) dan ulama soleh yang telah teruji dan dimaklumi khasiat dan kehebatannya. Amalan berpuasa sememangnya bentuk amalan yang dapat menyumbang banyak manfaat terhadap tubuh badan manusia, bukan sekadar aspek kesihatan malahan aspek pembentukan kekuatan rohani, secara tidak langsung terbentuklah kekuatan tenaga dalam. Berpuasa hampir menyamai amalan patigeni malahan kesannya jauh lebih bagus jika dipraktikkan dengan cara Nabi Muhammad (saw).

Semua amalan-amalan ini biarlah berpandukan sunnah agar ia tidak menjadi sia-sia. Amalan sunnah mampu menjauhkan individu dari pengaruh unsur yang salah atau tidak hak, amalan sebeginilah yang mesti diberikan tumpuan. Bukan amalan untuk beroleh kehebatan tertentu atau bagi tujuan yang salah. Kelebihan yang zahir pada individu hakikatnya adalah kurniaan Allah (swt). Biarlah ianya demi membina kewibawaan bukan sekadar kehebatan sementara sahaja.

Gerak atau langkah tenaga dalam atau jurus kebatinan fungsinya yang lebih tepat adalah untuk menyelaraskan tumpuan zahir dan batin. Pergerakan sebegini dapat memberikan kefahaman betapa sukarnya untuk fokus secara total terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan. Apabila fizikal dan mental selari, kita sendiri akan kagum dengan hasilnya. Memadailah ini sebagai fungsi sebenarnya. Rentetan dari keselarasan ini terzahirlah kesan paling maksimum yang mampu dihasilkan tubuh badan manusia. Untuk mencapai ketahap ini, pengamal mestilah menguasai gerak diri terlebih dahulu sehingga gerak itu tepat walau pun secara spontan dilakukan.

Penguasaan fikiran yang mampu mengawal perasaan merupakan tahap yang seterusnya. Tahap pertama dalam kombinasi penguasaan kedua-dua elemen fizikal dan mental ini adalah penguasaan medan atau persekitaran. Setelah itu kematangan gerak fizikal dan penguasaan mental perlulah diperolehi dan ditingkatkan. Disini keberkesanan gerak zahir dan keupayaan batin akan menonjol. Sekiranya terjadi perkara yang digelar mencarik adat hasil dari sesuatu kaedah kebatinan, ianya tidak boleh dijadikan matlamat dan jika terhasil juga, wajib dipastikan akan kesan dan kemurniaannya.

Satu-satu natijah dari satu-satu usaha itu bukan semestinya konsisten, berterusan atau sentiasa menjadi. Allah (swt) Maha Berkuasa, Maha Perkasa dan berhak untuk mengurniakan hambaNya apa yang Dia inginkan tetapi tidak semestinya apa yang hambaNya inginkan. Ukuran sesuatu perkara itu biarlah ditimbang dengan dalil naqli dan aqli disamping ijma, qias serta pendapat orang alim.

Sebelum melalui semua proses-proses di atas, pengamal mestilah memurnikan rohani terlebih dahulu dengan kesejahteraan akidah dan menyihatkan jasmani dari penyakit, bukan penyakit fizikal tetapi penyakit akhlak, akhlak terhadap Penciptanya, manusia dan diri, selepas itu barulah boleh diambil gerak zahir. Apabila dirintis tertib perjalanan yang sebegini, gerak zahir itu akan terserlah keberkesanannya.

Disini secara tidak langsung akan berlaku peningkatan kekuatan dalaman sehingga kadang-kadang tidak lagi perlu melalui proses tradisi dalam memperolehi kekuatan tenaga dalam. Gerak zahir adalah penting bagi menjaga tertib tawakal. Ini tidak bermakna selepas itu kita boleh sewenang-wenangnya untuk memilih aliran atau kaedah kebatinan yang pelik atau mencarik adat tanpa ditimbang salah benarnya.

Dizaman para anbia (as), Nabi Muhammad (saw), sahabat dan tabien perkara yang dipanggil mencarik adat ini sudah dimaklumi ada berlaku terhadap diri mereka sendiri atau orang-orang soleh dizaman tersebut. Siroh, kisah atau teladan yang sebegini lebih elok dijadikan panduan. Golongan yang dimuliakan ini tidak pula menjadikan perkara yang mencarik adat itu sebagai matlamat atau pokok perbincangan dalam amalan atau terniat untuk yang sebegitu berlaku keatas mereka.

Menyebut tentang mencarik adat, syariat itu sendiri sifatnya mencarik adat kerana kaedah dan perintahnya adakalanya tidak selaras dengan kebiasaan adat atau tidak mampu dijangkau oleh kefahaman fikiran manusia. Biar pun begitu ketaatan terhadap syariat adalah satu kemestian dan hikmah dari natijahnya sudah pasti terlalu indah dan agung. Penumpuan kepada perkara mencarik adat yang sebegini lebih utama dari menyibukkan diri untuk sesuatu kaedah yang pada kebiasaannya dipenuhi dengan ketidakpastian, penipuan dan adakalanya membawa kerosakan.

 

 

 

TOP

 

©Hakcipta PSSTNM 2007